BASMALAH.
Selain pelacuran, penulisan turut tersenarai sebagai profesion tertua dalam sejarah dunia – berusia berkurun-kurun lamanya. Sejak dari saat penemuannya, penulisan telah menjadi antara profesion yang teramat penting di dalam kamus dunia. Tanpa penulisan, tidak mungkin setiap manusia dapat hidup sehingga ke hari ini. Kita tidak akan dapat mengerti tentang kejadian malam dan siang serta silih bergantinya langit dan bumi, kita tidak akan dapat faham tentang sejarah manusia diciptakan, dan kita tidak akan dapat tahu tujuan kita dihidupkan di bumi.
Berdasarkan sejarah, terdapat satu penulisan kuno yang telah berjaya menyumbangkan ilmu-ilmu hebat dan berguna kepada masyarakat dunia, sama ada secara langsung mahupun tidak. Malah, ia telah berjaya merubah keadaan yang berlaku di muka bumi, dari semasa ke semasa. Ia turut memberikan banyak informasi yang bermanfaat, yang mana ada diantaranya turut merupakan perkara utama yang patut diketahui semua manusia sebagai panduan asas bagi memudahkan kehidupan masing-masing. Penulisan kuno ini juga merupakan medium yang memperdengarkan petunjuk yang ingin diajar, memperlihatkan kejadian bumi yang ingin diperjelas, serta menciptakan manusia yang dapat membezakan antara yang benar dan salah.
Sebagai orang-orang yang terdahulu, nenek moyang kita masing-masing pasti telah ditinggalkan dengan penulisan kuno bersejarah ini. Ada diantara mereka yang sudah pastinya mengetahui akan fakta serta kebenaran tentang segala yang terkandung dalam penulisan kuno tersebut. Penulisan kuno ini turut dibacakan secara turun-temurun, disampaikan secara beransur-ansur kepada kaum yang dikehendaki dan terpilih, dari saat bermulanya penciptaan Adam sebagai manusia pertama, sehingga kini, dan selama-lamanya. Apabila segala yang terkandung dalam penulisan kuno tersebut telah dibacakan dan difahami dengan jelas dan yakin, ia pasti akan dapat dijadikan pegangan dan iktikad oleh setiap makhluk yang bergelar manusia, agar mereka dapat bersatu dalam mentauhidkan setiap perbuatan dan amalan mereka. Dengan perlaksanaan yang jitu dan teguh terhadap setiap kandungannya, mungkin harapan untuk menemui jawapan yang selama ini dicari ramai akhirnya akan ditemui. Jawapan untuk mencari jalan penyelesaian kepada setiap perkara dan masalah yang berlaku di dunia akhir zaman ini.
Persoalannya:
Adakah kita benar-benar jelas dan dapat lihat akan kepentingan untuk memahami sejarah yang terkandung dalam penulisan kuno ini? Adakah nenek moyang kita benar-benar telah mewarisi sejarah penulisan agong yang menjaminkan kehidupan di Darussalam ini? Jika ya, dapatkah ia diwarisi ataupun setiap daripada kita perlu berusaha untuk mencarinya? Atau adakah kita hanya perlu memeluk tubuh dan menanti kehadirannya kepada kita? Atau mahukah kita membongkar rahsia sejarah penulisan kuno yang telah ditinggalkan ini? Tepuk dada, tanyalah Iman…
HAMDALAH.
TULISAN KUNO !!?? Jeng jeng jeng…